Covid: 261 kes baharu melibatkan VOC dikesan di Malaysia

(Foto oleh Sam Fong/The Edge filepix)

(Foto oleh Sam Fong/The Edge filepix)

-A +A

KUALA LUMPUR (28 Okt): Sebanyak 261 kes baharu Covid-19 membabitkan varian kebimbangan (VOC) dikesan di negara ini antara 20 Okt hingga 28 Okt, dengan varian Delta mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 259.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua lagi kes yang dikesan adalah varian Beta.

Beliau berkata varian itu dikesan hasil penyelidikan berterusan yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Fakulti Perubatan (FOM-UM), Institut Farmakogenomik Integratif (iPROMISE-UiTM), Institut Genom Malaysia (MGI), dan Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC-UM).

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dikategorikan sebagai VOC dan Varian Kepentingan (VOI) kepada 2,645 kes.

“Daripada jumlah itu, 2,625 kes adalah VOC dan 20 adalah VOI,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 pada Khamis.

Secara keseluruhan, Dr Noor Hisham berkata terdapat 2,385 kes varian Delta, 226 varian Beta dan 14 varian Alpha dalam kategori VOC.

Bagi VOI, beliau berkata terdapat 13 kes varian Theta, empat varian Kappa dan tiga varian Eta.