SHAH ALAM, 27 Dis — Mayat seorang wanita tidak dikenali, dipercayai berusia 30-an ditemui terapung di perairan Sekinchan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor di sini hari ini.
Pengarahnya Kapten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata Pusat Gerakan Maritim Selangor menerima maklumat mengenai penemuan itu dari Stesen Udara Maritim Subang kira-kira jam 9.55 pagi, berikutan bot Perkasa 36 dihantar untuk mengesan dan mengambil mayat.
“Sekitar jam 1.15 petang, Perkasa 36 menemui mayat dalam pakaian berwarna gelap. Mayat wanita yang tidak dikenali itu dihantar ke Jeti Nelayan Sekinchan untuk diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis mengesahkan penemuan itu.
APMM menggesa mereka yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berkaitan menghubungi APMM Selangor di talian 03-21760627. — Bernama